Buku-Buku Stormreaders

Sabtu, 9 Oktober 2010

Berita Stormreaders di Berita Harian Januari 2010

Berikut merupakan ulasan penuh mengenai Stormreaders di akhbar Berita Harian pada tarikh: 13 Januari 2010, Rabu

Oleh Hasliza Hassan hasliza@bharian.com.my

Program MLM jual buku dalam internet ikut syariah. Guna konsep hanya ahli aktif dapat ganjaran bagi pastikan keuntungan dikongsi secara adil.

PERNIAGAAN pemasaran pelbagai tingkat (MLM) berdasarkan syariah secara khusus mungkin tidak ada atau belum pernah didengar tetapi tidak bermakna konsep perniagaan itu tidak boleh dilaksanakan.

Stormreaders Network Sdn Bhd, anak syarikat Telaga Biru Sdn Bhd yang menerbitkan buku dan bahan ilmiah mengambil langkah meneroka perniagaan MLM patuh syariah dengan memperkenalkan Program Gabungan Kedai Buku Online Pemasaran Pelbagai Tingkat (MLM).

Pengurus Besar Stormreaders Network, Syah Rizal Mohamed, berkata
program yang pertama di Malaysia itu memberi peluang ahli yang berminat menjana pendapatan daripada penjualan buku di kedai buku online (e-store).

Katanya, pada masa sama, ahli dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, meningkatkan minat membaca, berjihad menyebarkan ilmu bermanfaat seterusnya menjalin silaturrahim sesama ahli dan masyarakat.

"Melalui program MLM penjualan buku melalui internet ini diharap dapat memberi satu pemikiran baru bahawa walaupun MLM tidak diceritakan dalam Islam, ia tidak dilarang selagi pelan perniagaan itu patuh kepada syariah.

"Selain membantu ahli yang berminat, matlamat kita ialah menggalakkan lebih ramai membaca kerana tidak dinafikan peratusan membaca buku di negara ini memang kurang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Gabungan Kedai Buku Online MLM baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan Pengarah Urusan Stormreaders Network, Waharp Md Yusof. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn Bhd, Zahazan Mohamed yang turut menyampaikan ceramah bertajuk 'Ilmu dan Keberkatan Rezeki'.

Program Gabungan Kedai Buku Online MLM membolehkan ahli memiliki e-store masing-masing dengan modal sebanyak RM90 dan setiap pembelian daripada kedai itu, pemilik e-store akan mendapat 20 peratus komisen jualan peribadi.

Keistimewaan program ini ialah semua aktiviti pembelian dan tempahan dilakukan secara online di e-store sementara penghantaran pula dilakukan oleh Stormreaders Network. Pemilik kedai juga boleh membuat penghantaran peribadi jika perlu.

Dalam program ini juga, pemilik e-store boleh maju ke peringkat pengedar dan mempunyai rangkaian dengan mengumpul 100 mata ganjaran daripada pembelian peribadi. Setiap pembelian berharga RM3 membolehkan pemilik e-store menerima satu mana ganjaran.

Seperti perniagaan MLM lain, Program Gabungan Kedai Buku Online MLM membolehkan ahlinya mendapat bonus daripada jualan kumpulan rangkaian sebanyak 15 peratus tetapi Stormreaders Network mengehadkan jumlahnya kepada RM4,500 seminggu.

Syah Rizal berkata, langkah mengehadkan bonus jualan rangkaian RM4,500 sebulan bagi mengelak lebihan bayaran kerana tidak adil jika ahli tidak bekerja keras tetapi memperoleh pendapatan selain memberi peluang kepada ahli rangkaian menikmati bonus.

Beliau berkata, itulah perbezaan Program Gabungan Kedai Buku Online MLM dalam usaha mematuhi kehendak syariah dengan memastikan perniagaan tidak memberi kemudaratan kepada setiap ahli dan hanya yang benar-benar bekerja layak mendapat ganjaran.

"Jika tidak dimaksimumkan, akan terjadilah terlebih bayar. Tetapi had maksimum hanya untuk tempoh seminggu. Jika minggu berikutnya ahli berjaya mencapai jualan, mereka layak menerima bonus lagi," katanya.

Katanya, bukan mudah untuk mengembangkan pelan MLM yang patuh syariah dan Program Gabungan Kedai Buku Online MLM sendiri memakan masa dua tahun untuk dirombak serta diperbaiki supaya benar-benar mengikut syariah.

Antaranya, menetapkan produk dijual pada harga pasaran mengambil konsep mengelak penguasaan orang tengah atau harga tidak mengikut pasaran merujuk hadis Rasulullah SAW yang memuji serta mendoakan sahabat yang menjual kambing mengikut harga pasaran.

Syah Rizal berkata, MLM sedia ada tidak mempunyai asas menyebabkan harga produk dijual ada kalanya dua kali ganda daripada pasaran dan itu menjadikan perniagaan MLM seolah-olah permainan mengaut keuntungan.

Begitu juga konsep bonus ganjaran merujuk kepada kisah di zaman Nabi Yusuf apabila pemerintah menawarkan makanan seberat seekor unta kepada sesiapa menjumpai piala yang hilang. Syarat dikenakan untuk meraih sesuatu.

Dalam hal MLM patuh syariah, ahli yang bekerja dan mencapai sasaran layak menerima ganjaran bonus dan bagi Program Gabungan Kedai Buku Online MLM, setiap ahli rangkaian perlu aktif bagi membolehkan mereka mendapat ganjaran tambahan.

"Ada mengatakan bezanya MLM ini hanya akad saja tetapi perlu ditekankan akad nikah yang hanya seminit itu penting kerana ia akan menghalalkan hubungan lelaki perempuan. Jadi tiada istilah akad saja, kerana nilai akad itu besar.

"MLM patuh syariah tidak boleh disamakan seperti ayam yang disembelih dengan yang mati kena langgar, apabila digoreng dan diletakkan di kedai nampak serupa saja tetapi hakikatnya, satu disembelih dan satu lagi mati dilanggar," katanya.

Beliau berkata, di Stormreaders Network, konsep diguna pakai ialah hanya mereka yang aktif bakal mendapat ganjaran bagi memastikan keuntungan dikongsi secara adil, bukan siapa letak duit banyak bakal mendapat keuntungan banyak.

Syah Rizal berkata, sejak memulakan operasi secara online pada awal Disember tahun lalu, Program Gabungan Kedai Buku Online MLM sudah mempunyai 500 ahli dan syarikat menyasarkan 5,000 ahli sehingga akhir tahun ini.

Katanya, buat masa ini Stormreaders Network yang dipayungi Telaga Biru hanya menjual kira-kira 200 tajuk buku, cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan cakera video digital terbitan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mengajak syarikat penerbitan tempatan dan luar negara untuk menyertai program itu bagi memberi lebih banyak pilihan buku kepada pemilik e-store dan pembeli.

Menjawab persoalan kemungkinan hasrat untuk menggalakkan lebih ramai membaca tidak tercapai apabila ahli lebih menumpukan kepada perniagaan berbanding memenuhi usaha menyebarkan ilmu, beliau melihat perkara itu secara positif.

"Mungkin mereka beli sekarang untuk meningkatkan jumlah jualan tetapi akan tiba masa mereka mengambil buku itu untuk membacanya. Jika tidak hari ini, anak cucu ahli akan membacanya nanti dan buku tidak ada tempoh luput. Visi kita ialah membawa ilmu ke dalam rumah," katanya.

sumber:
http://www.bharian.com.my/Wednesday/Agama/20100113001932/Article/index_html (link kepada berita berkenaan sudah tidak wujud)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan